Sign In

UBD KAJI DATA PENYAKIT STROK

Oct 21, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt –Satu pasukan terdiri daripada sepuluh penemu ramah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD ) kini sedang melaksanakan kajian ke rumah-rumah di Daerah Brunei Muara bagi membantu mendapatkan data mengenai penyakit saraf, terutamanya strok di negara ini.



Pasukan tersebut akan singgah ke Kampung Salambigar, Kampung Sungai Orok dan Kampung Sungai Akar.



Bagi melakukan rawatan yang optimum kepada setiap pesakit strok di negara ini, kajian terbaik (The Brunei-Epidemiology-of-Stroke-and-multiple-sclerosis-study) telah diwujudkan di mana ahli-ahli sains dan pakar perubatan tempatan dan negara Jerman sedang menjalankan satu kajian epidemiologi pada kekerapan strok dan faktor-faktor risiko penyakit berkenaan mengancam nyawa.



Data berkenaan akan menyediakan asas untuk merancang dan mewujudkan sumber yang mencukupi bagi merawat pesakit saraf di negara ini.



Pengumpulan data dilakukan oleh satu pasukan penemu ramah dari UBD yang telah dilatih dalam bidang asas neurologi dan prestasi kajian saintifik yang betul.



Dalam kumpulan kedua atau ketiga, mereka bergerak dari rumah ke rumah dan meminta sokongan mengenai kajian tersebut, di mana sejak bulan Oktober sehingga sekarang, mereka telah mengumpul data daripada lebih 270 peserta.



Penghuni rumah di Kampung Salambigar, Kampung Sungai Orok, dan Kampung Sungai Akar dan keluarga yang dipilih diharap akan memberikan kerjasama kepada pasukan kajian berkenaan.



Dari pengalaman dalam lain-lain kajian epidemiologi, Awang Agong Lupat dari UBD dan Profesor Heiko Becher dari Universiti Heidelberg mengharapkan kerjasama perlu diberikan bagi kejayaan kajian yang penting itu sekali gus menepati sasaran slogan kajian - Bantu Kami Untuk Membantu Anda!

 

​​​

Media Permata​

Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.