Sign In

MENINGKATKAN KESEDARAN TENTANG HIV/AIDS

Nov 26, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 November. - Bersempena dengan Hari AIDS Sedunia tahun ini, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) mengadakan usahasama dengan Brunei Press untuk menyerlahkan dan meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS melalui Kuiz Hari AIDS Sedunia yang akan dipaparkan dalam Akhbar Borneo Bulletin dan Media Permata.



Kuiz yang mempunyai lapan soalan semuanya berserta jawapan langsung benar atau salah itu akan dipaparkan pada 22, 25 dan 29 November dan 1 Disember di Borneo Bulletin dan 27 November di Media Permata.



Para peserta boleh menghantar jawapan 'cut- out' ke Ibu Pejabat Brunei Press di Lot 8 dan 11, Perindustrian Beribi II, Gadong BE1118.



Sepuluh pemenang bertuah akan diundi dan menerima beg cenderahati dari JPMC bernilai BND150 termasuk satu bulan keahlian percuma di Pusat Kesihatan Badan JPMC, satu baucar  20 peratus diskaun ke atas rawatan atau perkhidmatan terpilih yang terdapat di JPMC dan satu baucar 10 peratus diskaun ke atas apa-apa pembelian di Farmasi JPMC.



Kakitangan JPMC telah mula memakai reben merah sebagai menandakan Hari AIDS Sedunia yang akan datang.



Memakai reben merah adalah cara yang paling mudah dan praktikal untuk menyampaikan mesej kesedaran mengenai penyakit ini.



'Reben merah' memperlihatkan simbol sokongan berterusan untuk Hari AIDS Sedunia.



“Usaha kami menjual reben merah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu dan juga mengambil peluang untuk mendidik orang ramai melalui acara ini," kata Pegawai Pemasaran JPMC, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin.



Daripada 26 November dan seterusnya, reben merah dijual BND2 kepada pelawat, pesakit dan kakitangan JPMC.



Reben merah boleh dibeli di mana-mana kaunter JPMC bermula dari 26 November sehingga 8 Disember.



Semua hasil daripada jualan akan disalurkan kepada Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam (BDAC) untuk menyokong program mereka mengenai aktiviti dan ceramah Kesedaran AIDS.



Kempen Hari AIDS Sedunia dianjurkan oleh JPMC dan disokong oleh Brunei Press Snd. Bhd. Borneo Bulletin, Media Permata dan Pusat Kecergasan JPMC.

 


Pelita Brunei

Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.